Imam Syafi'i
(150H – 204H ) Nama beliau ialah
Muhammad bin Idris bin Al-‘Abbas bin ‘Uthman bin Shafi’ bin Al-Saib bin
‘Ubaid bin Yazid bin Hashim bin ‘Abd al-Muttalib bin ’Abd Manaf bin Ma’n
bin Kilab bin Murrah bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Al-Nadr
bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilias bin Al-Nadr bin Nizar
bin Ma’d bin ‘Adnan bin Ud bin Udad. Keturunan beliau bertemu dengan
titisan keturunan Rasulullah s.a.w pada ‘Abd Manaf. Ibunya berasal dari
Kabilah Al-Azd, satu kabilah Yaman yang masyhur.
Penghijrahan ke Palestina
Sebelum beliau dilahirkan,
keluarganya telah berpindah ke Palestina kerana beberapa keperluan dan
bapanya terlibat di dalam angkatan tentera yang ditugaskan untuk
mengawal perbatasan Islam di sana.
Kelahiran dan Kehidupannya
Menurut pendapat yang
masyhur, beliau dilahirkan di Ghazzah – Palestina pada tahun 150 Hijrah.
Tidak lama sesudah beliau dilahirkan bapanya meninggal dunia.
Tinggallah beliau bersama-sama ibunya sebagai seorang anak yatim.
Kehidupan masa kecilnya dilalui dengan serba kekurangan dan kesulitan.
PENGEMBARAAN IMAM AL-SHAFI’I
Hidup Imam As-Shafi’i (150H – 204H ) merupakan satu siri pengembaraan
yang tersusun di dalam bentuk yang sungguh menarik dan amat berkesan
terhadap pembentukan kriteria ilmiah dan popularitasnya.
Al-Shafi’i di Makkah ( 152H – 164H ) Pengembaraan
beliau bermula sejak beliau berumur dua tahun lagi (152H), ketika itu
beliau dibawa oleh ibunya berpindah dari tempat kelahirannya iaitu dari
Ghazzah, Palestina ke Kota Makkah untuk hidup bersama kaum keluarganya
di sana. Di kota Makkah kehidupan beliau tidak tetap kerana beliau
dihantar ke perkampungan Bani Huzail, menurut tradisi bangsa Arab ketika
itu bahawa penghantaran anak-anak muda mereka ke perkampungan tersebut
dapat mewarisi kemahiran bahasa ibunda mereka dari sumber asalnya yang
belum lagi terpengaruh dengan integrasi bahasa-bahasa asing seperti
bahasa Parsi dan sebagainya. Satu perkara lagi adalah supaya pemuda
mereka dapat dibekalkan dengan Al-Furusiyyah (Latihan Perang Berkuda).
Kehidupan beliau di peringkat ini mengambil masa dua belas tahun ( 152 –
164H ).
Sebagai hasil dari usahanya, beliau telah mahir dalam ilmu bahasa dan
sejarah di samping ilmu-ilmu yang berhubung dengan Al-Quran dan
Al-Hadith. Selepas pulang dari perkampungan itu beliau meneruskan usaha
pembelajarannya dengan beberapa mahaguru di Kota Makkah sehingga beliau
menjadi terkenal. Dengan kecerdikan dan kemampuan ilmiahnya beliau telah
dapat menarik perhatian seorang mahagurunya iaitu Muslim bin Khalid
Al-Zinji yang mengizinkannya untuk berfatwa sedangkan umur beliau masih
lagi di peringkat remaja iaitu lima belas tahun.
Al-Shafi’i di Madinah
( 164H – 179H ) Sesudah itu
beliau berpindah ke Madinah dan menemui Imam Malik. Beliau berdamping
dengan Imam Malik di samping mempelajari ilmunya sehinggalah Imam Malik
wafat pada tahun 179H, iaitu selama lima belas tahun. Semasa beliau
bersama Imam Malik hubungan beliau dengan ulama-ulama lain yang menetap
di kota itu dan juga yang datang dari luar berjalan dengan baik dan
berfaedah. Dari sini dapatlah difahami bahawa beliau semasa di Madinah
telah dapat mewarisi ilmu bukan saja dari Imam Malik tetapi juga dari
ulama-ulama lain yang terkenal di kota itu.
Al-Shafi’i di Yaman
( 179H – 184H ) Ketika Imam
Malik wafat pada tahun 179H, kota Madinah diziarahi oleh Gabenor Yaman.
Beliau telah dicadangkan oleh sebahagian orang-orang Qurasyh Al-Madinah
supaya mencari pekerjaan bagi Al-Shafi’i. Lalu beliau melantiknya
menjalankan satu pekerjaan di wilayah Najran. Sejak itu Al-Shafi’i terus
menetap di Yaman sehingga berlaku pertukaran Gabenor wilayah itu pada
tahun 184H. Pada tahun itu satu fitnah ditimbulkan terhadap diri
Al-Shafi’i sehingga beliau dihadapkan ke hadapan Harun Al-Rashid di
Baghdad atas tuduhan Gabenor baru itu yang sering menerima kecaman
Al-Shafi’i kerana kekejaman dan kezalimannya. Tetapi ternyata bahawa
beliau tidak bersalah dan kemudiannya beliau dibebaskan.
Al-Shafi’i di Baghdad ( 184H – 186H )
Peristiwa itu
walaupun secara kebetulan, tetapi membawa arti yang amat besar kepada
Al-Shafi’i kerana pertamanya, ia berpeluang menziarahi kota Baghdad yang
terkenal sebagai pusat ilmu pengetahuan dan para ilmuan pada ketika
itu. Keduanya, ia berpeluang bertemu dengan Muhammad bin Al-Hassan
Al-Shaibani, seorang tokoh Mazhab Hanafi dan sahabat karib Imam Abu
Hanifah dan lain-lain tokoh di dalam Mazhab Ahl al-Ra’y. Dengan
peristiwa itu terbukalah satu era baru dalam siri pengembaraan Al-Imam
ke kota Baghdad yang dikatakan berlaku sebanyak tiga kali sebelum beliau
berpindah ke Mesir.
Dalam pengembaraan pertama ini Al-Shafi’i tinggal di kota Baghdad
sehingga tahun 186H. Selama masa ini (184 – 186H) beliau sempat membaca
kitab-kitab Mazhab Ahl al-Ra’y dan mempelajarinya, terutamanya hasil
tulisan Muhammad bin Al-Hassan Al-Shaibani, di samping membincanginya di
dalam beberapa perdebatan ilmiah di hadapan Harun Al-Rashid sendiri.
Al-Shafi’i di Makkah ( 186H – 195H )
Pada tahun
186H, Al-Shafi’i pulang ke Makkah membawa bersamanya hasil usahanya di
Yaman dan Iraq dan beliau terus melibatkan dirinya di bidang pengajaran.
Dari sini muncullah satu bintang baru yang berkerdipan di ruang langit
Makkah membawa satu nafas baru di bidang fiqah, satu nafas yang bukan
Hijazi, dan bukan pula Iraqi dan Yamani, tetapi ia adalah gabungan dari
ke semua aliran itu. Sejak itu menurut pendapat setengah ulama, lahirlah
satu Mazhab Fiqhi yang baru yang kemudiannya dikenali dengan Mazhab
Al-Shafi’i.
Selama sembilan tahun (186 – 195H) Al-Shafi’i menghabiskan masanya di
kota suci Makkah bersama-sama para ilmuan lainnya, membahas, mengajar,
mengkaji di samping berusaha untuk melahirkan satu intisari dari
beberapa aliran dan juga persoalan yang sering bertentangan yang beliau
temui selama masa itu.
Al-Shafi’i di Baghdad ( 195H – 197H )
Dalam tahun
195H, untuk kali keduanya Al-Shafi’i berangkat ke kota Baghdad.
Keberangkatannya kali ini tidak lagi sebagai seorang yang tertuduh,
tetapi sebagai seorang alim Makkah yang sudah mempunyai personalitas dan
aliran fiqah yang tersendiri. Catatan perpindahan kali ini menunjukkan
bahawa beliau telah menetap di negara itu selama dua tahun (195 – 197H).
Di dalam masa yang singkat ini beliau berjaya menyebarkan “Method
Usuli” yang berbeza dari apa yang dikenali pada ketika itu. Penyebaran
ini sudah tentu menimbulkan satu respon dan reaksi yang luarbiasa di
kalangan para ilmuan yang kebanyakannya adalah terpengaruh dengan method
Mazhab Hanafi yang disebarkan oleh tokoh utama Mazhab itu, iaitu
Muhammad bin Al-Hasan Al-Shaibani.
Kata Al-Karabisi : “Kami sebelum ini tidak kenal apakah (istilah)
Al-Kitab, Al- Sunnah dan Al-Ijma’, sehinggalah datangnya Al-Shafi’i,
beliaulah yang menerangkan maksud Al-Kitab, Al-Sunnah dan Al-Ijma’”.
Kata Abu Thaur : “Kata Al-Shafi’i : Sesungguhnya Allah Ta’ala telah
menyebut (di dalam kitab-Nya) mengenai sesuatu maksud yang umum tetapi
Ia menghendaki maksudnya yang khas, dan Ia juga telah menyebut sesuatu
maksud yang khas tetapi Ia menghendaki maksudnya yang umum, dan kami
(pada ketika itu) belum lagi mengetahui perkara-perkara itu, lalu kami
tanyakan beliau …” Pada masa itu juga dikatakan beliau telah menulis
kitab usulnya yang pertama atas permintaan ‘Abdul Rahman bin Mahdi, dan
juga beberapa penulisan lain dalam bidang fiqah dan lain-lain.
Al-Shafi’i di Makkah dan Mesir ( 197H – 204H )
Sesudah dua tahun berada di Baghdad (197H) beliau kembali ke Makkah.
Pada tahun 198H, beliau keluar semula ke Baghdad dan tinggal di sana
hanya beberapa bulan sahaja. Pada awal tahun 199H, beliau berangkat ke
Mesir dan sampai ke negara itu dalam tahun itu juga. Di negara baru ini
beliau menetap sehingga ke akhir hayatnya pada tahun 204H.
Imam As-Shafi’i wafat pada tahun 204H. Asas Fiqih dan Ushul Fiqih
kemudian disebar dan diusaha-kembangkan oleh para sahabatnya yang berada
di Al-Hijaz, Iraq dan Mesir.
FATWA-FATWA IMAM AL-SHAFI’I
Perpindahan beliau ke Mesir mengakibatkan satu perubahan besar dalam
Mazhabnya. Kesan perubahan ini melibatkan banyak fatwanya semasa beliau
di Baghdad turut sama berubah. Banyak kandungan kitab-kitab fiqahnya
yang beliau hasilkan di Baghdad disemak semula dan diubah. Dengan ini
terdapat dua fatwa bagi As-Shafi’i, fatwa lama dan fatwa barunya. Fatwa
lamanya ialah segala fatwa yang diucapkan atau ditulisnya semasa beliau
berada di Iraq, fatwa barunya ialah fatwa yang diucapkan atau ditulisnya
semasa beliau berada di Mesir. Kadang-kadang dipanggil fatwa lamanya
dengan Mazhabnya yang lama atau Qaul Qadim dan fatwa barunya dinamakan
dengan Mazhab barunya atau Qaul Jadid.
Di sini harus kita fahami bahawa tidak kesemua fatwa barunya
menyalahi fatwa lamanya dan tidak pula kesemua fatwa lamanya
dibatalkannya, malahan ada di antara fatwa barunya yang menyalahi fatwa
lamanya dan ada juga yang bersamaan dengan yang lama. Kata Imam
Al-Nawawi : “Sebenarnya sebab dikatakan kesemua fatwa lamanya itu
ditarik kembali dan tidak diamalkannya hanyalah berdasarkan kepada
ghalibnya sahaja”.
PARA SAHABAT IMAM AL-SHAFI’I
Di antara para sahabat Imam Al-Shafi’i yang terkenal di Al-Hijaz (Makkah dan Al-Madinah) ialah :-
1. Abu Bakar Al-Hamidi, ‘Abdullah bun Al-Zubair Al-Makki yang wafat
pada tahun 219H. 2. Abu Wahid Musa bin ‘Ali Al-Jarud Al-Makki yang
banyak menyalin kitab-kitab Al-Shafi’i. Tidak diketahui tarikh wafatnya.
3. Abu Ishak Ibrahim bin Muhammad bin Al-‘Abbasi bin ‘Uthman bin Shafi
‘Al-Muttalibi yang wafat pada tahun 237H. 4. Abu Bakar Muhammad bin
Idris yang tidak diketahui tarikh wafatnya.
Sementara di Iraq pula kita menemui ramai para sahabat Imam Al-Shafi’i yang terkenal, di antara mereka ialah :
1. Abu ‘Abdullah Ahmad bin Hanbal, Imam Mazhab yang keempat. Beliau
wafat pada tahun 241H. 2. Abu ‘Ali Al-Hasan bin Muhammad Al-Za’farani
yang wafat pada tahun 249H. 3. Abu Thaur Ibrahim bin Khalid Al-Kalbi
yang wafat pada tahun 240H. 4. Al-Harith bin Suraij Al-Naqqal, Abu
‘Umar. Beliau wafat pada tahun 236H. 5. Abu ‘Ali Al-Husain bin ‘Ali
Al-Karabisi yang wafat pada tahun 245H. 6. Abu ‘Abdul RahmanAhmad bin
Yahya Al-Mutakallim. Tidak diketahui tarikh wafatnya. 7. Abu Zaid ‘Abdul
Hamid bin Al-Walid Al-Misri yang wafat pada tahun 211H. 8. Al-Husain
Al-Qallas. Tidak diketahui tarikh wafatnya. 9. ‘Abdul ‘Aziz bin Yahya
Al-Kannani yang wafat pada tahun 240H. 10. ‘Ali bin ‘Abdullah
Al-Mudaiyini.
Di Mesir pula terdapat sebilangan tokoh ulama yang kesemua mereka adalah sahabat Imam Al-Shafi’i, seperti :
1. Abu Ibrahim Isma’il bin Yahya bin ‘Amru bin Ishak Al-Mudhani yang
wafat pada tahun 264H. 2. Abu Muhammad Al-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi
yang wafat pada tahun 270H. 3. Abu Ya’kub Yusuf bin Yahya Al-Misri
Al-Buwaiti yang wafat pada tahun 232H. 4. Abu Najib Harmalah bin Yahya
Al-Tajibi yang wafat pada tahun 243H. 5. Abu Musa Yunus bin ‘Abdul A’la
Al-Sadaghi yang wafat pada tahun 264H. 6. Abu ‘Abdullah Muhammad bin
‘Abdullah bin ‘Abdul Hakam Al-Misri yang wafat pada tahun 268H. 7.
Al-Rabi’ bin Sulaiman Al-Jizi yang wafat pada tahun 256H.
Dari usaha gigih mereka, Mazhab Al-Shafi’i tersebar dan berkembang luas di seluruh rantau Islam di zaman-zaman berikutnya.
PERKEMBANGAN MAZHAB IMAM AL-SHAFI’I
Menurut Ibn Al-Subki bahawa Mazhab Al-Shafi’I telah berkembang dan
menjalar pengaruhnya di merata-rata tempat, di kota dan di desa, di
seluruh rantau negara Islam. Pengikut-pengikutnya terdapat di Iraq dan
kawasan-kawasan sekitarnya, di Naisabur, Khurasan, Muru, Syria, Mesir,
Yaman, Hijaz, Iran dan di negara-negara timur lainnya hingga ke India
dan sempadan negara China. Penyebaran yang sebegini meluas
setidak-tidaknya membayangkan kepada kita sejauh mana kewibawaan
peribadi Imam Al-Shafi’i sebagai seorang tokoh ulama dan keunggulan
Mazhabnya sebagai satu-satunya aliran fiqah yang mencabar aliran
zamannya.
IMAM AL-SHAFI’I DAN KITABNYA
Permulaan Mazhabnya Sebenarnya penulisan Imam Al-Shafi’i secara
umumnya mempunyai pertalian yang rapat dengan pembentukan Mazhabnya.
Menurut Muhammad Abu Zahrah bahawa pembentukan Mazhabnya hanya bermula
sejak sekembalinya dari kunjungan ke Baghdad pada tahun 186H. Sebelum
itu Al-Shafi’i adalah salah seorang pengikut Imam Malik yang sering
mempertahankan pendapatnya dan juga pendapat fuqaha’ Al-Madinah lainnya
dari kecaman dan kritikan fuqaha’ Ahl Al-Ra’y. Sikapnya yang sebegini
meyebabkan beliau terkenal dengan panggilan “Nasir Al-Hadith”.
Detik terawal Mazhabnya bermula apabila beliau membuka tempat
pengajarannya (halqah) di Masjid Al-Haram. Usaha beliau dalam
memperkembangkan Mazhabnya itu bolehlah dibahagikan kepada tiga
peringkat :-
1. Peringkat Makkah (186 – 195H) 2. Peringkat Baghdad (195 – 197H) 3. Peringkat Mesir (199 – 204H)
Dalam setiap peringkat diatas beliau mempunyai ramai murid dan para
pengikut yang telah menerima dan menyebar segala pendapat ijtihad dan
juga hasil kajiannya.
Penulisan Pertamanya
Memang agak sulit untuk menentukan apakah kitab pertama yang
dihasilkan oleh Al-Shafi’i dan di mana dan selanjutnya apakah kitab
pertama yang dihasilkannya dalam Ilmu Fiqah dan di mana? Kesulitan ini
adalah berpunca dari tidak adanya keterangan yang jelas mengenai
kedua-dua perkara tersebut. Pengembaraannya dari satu tempat ke satu
tempat yang lain dan pulangnya semula ke tempat awalnya tambah
menyulitkan lagi untuk kita menentukan di tempat mana beliau mulakan
usaha penulisannya.
Apa yang kita temui – sesudah kita menyemak beberapa buah kitab lama
dan baru yang menyentuh sejarah hidupnya, hanya beberapa tanda yang
menunjukkan bahawa kitabnya “Al-Risalah” adalah ditulis atas permintaan
‘Abdul Rahman bin Mahdi, iaitu sebuah kitab di dalam Ilmu Usul, pun
keterangan ini tidak juga menyebut apakah kitab ini merupakan hasil
penulisannya yang pertama atau sebelumnya sudah ada kitab lain yang
dihasilkannya. Di samping adanya pertelingkahan pendapat di kalangan
‘ulama berhubung dengan tempat di mana beliau menghasilkan penulisan
kitabnya itu. Ada pendapat yang mengatakan bahawa beliau menulisnya
sewaktu beliau berada di Makkah dan ada juga pendapat yang mengatakan
bahawa beliau menulisnya ketika berada di Iraq.
Kata Ahmad Muhammad Shakir : “Al-Shafi’I telah mengarang beberapa
buah kitab yang jumlahnya agak besar, sebahagiannya beliau sendiri yang
menulisnya, lalu dibacakannya kepada orang ramai. Sebahagiannya pula
beliau merencanakannya sahaja kepada para sahabatnya. Untuk mengira
bilangan kitab-kitabnya itu memanglah sukar kerana sebahagian besarnya
telahpun hilang. Kitab-kitab itu telah dihasilkan penulisannya ketika
beliau berada di Makkah, di Baghdad dan di Mesir”.
Kalaulah keterangan di atas boleh dipertanggungjawabkan maka dapatlah
kita membuat satu kesimpulan bahawa Al-Shafi’i telah memulakan siri
penulisannya sewaktu beliau di Makkah lagi, dan kemungkinan kitabnya
yang pertama yang dihasilkannya ialah kitab “Al-Risalah”.
Al-Hujjah Dan Kitab-kitab Mazhab Qadim
Di samping “Al-Risalah” terdapat sebuah kitab lagi yang sering
disebut-sebut oleh para ulama sebagai sebuah kitab yang mengandungi
fatwa Mazhab Qadimnya iaitu “Al-Hujjah”. Pun keterangan mengenai kitab
ini tidak menunjukkan bahawa ia adalah kitab pertama yang di tulis di
dala bidang Ilmu Fiqah semasa beliau berada di Iraq, dan masa
penulisannya pun tidak begitu jelas. Menurut beberapa keterangan, beliau
menghasilkannya sewaktu beliau berpindah ke negara itu pada kali
keduanya, iaitu di antara tahun-tahun 195 – 197H.
Bersama-sama “Al-Hujjah” itu terdapat beberapa buah kitab lain di
dalam Ilmu Fiqah yang beliau hasilkan sendiri penulisannya atau beliau
merencanakannya kepada para sahabatnya di Iraq, antaranya seperti
kitab-kitab berikut :
1. Al-Amali 2. Majma’ al-Kafi 3. ‘Uyun al-Masa’il 4. Al-Bahr al-Muhit
5. Kitab al-Sunan 6. Kitab al-Taharah 7. Kitab al-Solah 8. Kitab
al-Zakah 9. Kitab al-Siam 10. Kitab al-Haj 11. Bitab al-I’tikaf 12.
Kitab al-Buyu’ 13. Kitab al-Rahn 14. Kitab al-Ijarah 15. Kitab al-Nikah
16. Kitab al-Talaq 17. Kitab al-Sadaq 18. Kitab al-Zihar 19. Kitab
al-Ila’ 20. Kitab al-Li’an 21. Kitab al-Jirahat 22. Kitab al-Hudud 23.
Kitab al-Siyar 24. Kitab al-Qadaya 25. Kitab Qital ahl al-Baghyi 26.
Kitab al-‘Itq dan lain-lain
Setengah perawi pula telah menyebut bahwa kitab pertama yang
dihasilkan oleh Al-Shafi’i adalah di dalam bentuk jawaban dan
perdebatan, iaitu satu penulisan yang dituju khas kepada fuqaha’ ahl
al-Ra’y sebagai menjawab kecaman-kecaman mereka terhadap Malik dan
fuqaha’ Al-Madinah. Kenyataan mereka ini berdasarkan kepada riwayat
Al-Buwaiti : “Kata Al-Shafi’i : Ashab Al-Hadith (pengikut Imam Malik)
telah berhimpun bersama-sama saya. Mereka telah meminta saya menulis
satu jawaban terhadap kitab Abu Hanifah. Saya menjawab bahawa saya belum
lagi mengetahui pendapat mereka, berilah peluang supaya dapat saya
melihat kitab-kitab mereka. Lantas saya meminta supaya disalinkan
kitab-kitab itu.Lalu disalin kitab-kitab Muhammad bin Al-Hasan untuk
(bacaan) saya. Saya membacanya selama setahun sehingga saya dapat
menghafazkan kesemuanya. Kemudian barulah saya menulis kitab saya di
Baghdad.
Kalaulah berdasarkan kepada keterangan di atas, maka kita pertama
yang dihasilkan oleh Al-Shafi’i semasa beliau di Iraq ialah sebuah kitab
dalam bentuk jawaban dan perdebatan, dan cara penulisannya adalah sama
dengan cara penulisan ahl al-Ra’y. Ini juga menunjukkan bahawa masa
penulisannya itu lebih awal dari masa penulisan kitab “Al-Risalah”,
iaitu di antara tahun-tahun 184 – 186H.
Method Penulisan Kitab-Kitab Qadim
Berhubung dengan method penulisan kitab “Al-Hujjah” dan lain-lain
belum dapat kita pastikan dengan yakin kerana sikap asalnya tida kita
temui, kemungkinan masih lagi ada naskah asalnya dan kemungkinan juga
ianya sudah hilang atau rosak dimakan zaman. Walaubagaimanapun ia tidak
terkeluar – ini hanya satu kemungkinan sahaja – dari method penulisan
zamannya yang dipengaruhi dengan aliran pertentangan mazhab-mazhab
fuqaha’ di dalam beberapa masalah, umpamanya pertentangan yang berlaku
di antara mazhab beliau dengan Mazhab Hanafi da juga Mazhab Maliki.
Keadaan ini dapat kita lihat dalam penulisan kitab “Al-Um” yang pada
asalnya adalah kumpulan dari beberapa buah kitab Mazhab Qadimnya. Setiap
kitab itu masing-masing membawa tajuknya yang tersendiri, kemudian kita
itu pula dipecahkan kepada bab-bab kecil yang juga mempunyai
tajuk-tajuk yang tersendiri. Di dalam setiap bab ini dimuatkan dengan
segala macam masalah fiqah yang tunduk kepada tajuk besar iaitu tajuk
bagi sesuatu kitab, umpamanya kitab “Al-Taharah”, ia mengandungi tiga
puluh tujuh tajuk bab kecil, kesemua kandungan bab-bab itu ada kaitannya
dengan Kitab “Al-Taharah”.
Perawi Mazhab Qadim Ramai di antara para sahabatnya
di Iraq yang meriwayat fatwa qadimnya, di antara mereka yang termasyhur
hanya empat orang sahaja :
1. Abu Thaur, Ibrahim bin Khalid yang wafat pada tahun 240H. 2.
Al-Za’farani, Al-Hasan bin Muhammad bin Sabah yang wafat pada tahun
260H. 3. Al-Karabisi, Al-Husain bin ‘Ali bin Yazid, Abu ‘Ali yang wafat
pada tahun 245H. 4. Ahmad bin Hanbal yang wafat pada tahun 241H.
Menurut Al-Asnawi, Al-Shafi’i adalah ‘ulama’ pertama yang hasil penulisannya meliputi banyak bab di dalam Ilmu Fiqah.
Perombakan Semula Kitab-kitab Qadim Perpindahan beliau ke Mesir pada
tahun 199H menyebabkan berlakunya satu rombakan besar terhadap fatwa
lamanya. Perombakan ini adalah berpuncak dari penemuan beliau dengan
dalil-dalil baru yang belum ditemuinya selama ini, atau kerana beliau
mendapati hadis-hadis yang sahih yang tidak sampai ke pengetahuannya
ketika beliau menulis kitab-kitab qadimnya, atau kerana hadis-hadis itu
terbukti sahihnya sewaktu beliau berada di Mesir sesudah kesahihannya
selama ini tidak beliau ketahui. Lalu dengan kerana itu beliau telah
menolak sebahagian besar fatwa lamanya dengan berdasarkan kepada
prinsipnya : “Apabila ditemui sesebuah hadis yang sahih maka itulah
Mazhab saya”.
Di dalam kitab “Manaqib Al-Shafi’i”, Al-Baihaqi telah menyentuh nama
beberapa buah kitab lama (Mazhab Qadim) yang disemak semula oleh
Al-Shafi’i dan diubah sebahagian fatwanya, di antara kitab-kitab itu
ialah :-
1. Al-Risalah 2. Kitab al-Siyam 3. Kitab al-Sadaq 4. Kitab al-Hudud
5. Kitab al-Rahn al-Saghir 6. Kitab al-Ijarah 7. Kitab al-Jana’iz
Menurut Al-Baihaqi lagi Al-shafi’i telah menyuruh supaya dibakar
kitab-kitab lamanya yang mana fatwa ijtihadnya telah diubah. Catatan
Al-Baihaqi itu menunjukkan bahawa Al-Shafi’i melarang para sahabatnya
meriwayat pendapat-pendapat lamanya yang ditolak kepada orang ramai.
Walaupun begitu kita masih menemui pendapat-pendapat itu berkecamuk di
sana-sini di dalam kitab-kitab fuqaha’ mazhabnya samada kitab-kitab yang
ditulis fuqaha’ yang terdahulu atau pun fuqaha’ yang terkemudian.
Kemungkinan hal ini berlaku dengan kerana kitab-kitab lamanya yang
diriwayatkan oleh Al-Za’farani, Al-Karabisi dan lain-lain sudah tersebar
dengan luasnya di Iraq dan diketahui umum, terutamanya di kalangan
ulama dan mereka yang menerima pendapat-pendapatnya itu tidak mengetahui
larangan beliau itu. Para fuqaha’ itu bukan sahaja mencatat
pendapat-pendapat lamanya di dalam penulisan mereka, malah menurut
Al-Nawawi ada di antara mereka yang berani mentarjihkan
pendapat-pendapat itu apabila mereka mendapatinya disokong oleh
hadis-hadis yang sahih. Pentarjihan mereka ini tidak pula dianggap
menentangi kehendak Al-Shafi’i, malahan itulah pendapat mazhabnya yang
berdasarkan kepada prinsipnya : “Apabila ditemui sesebuah hadis yang
sahih maka itulah mazhab saya”.
Tetapi apabila sesuatu pendapat lamanya itu tidak disokong oleh hadis
yang sahih kita akan menemui dua sikap di kalangan fuqaha’ Mazhab
Al-Shafi’i :- Pertamanya : Pendapat itu harus dipilih dan digunakan oleh
seseorang mujtahid Mazhab Al-Shafi’i atas dasar ia adalah pendapat
Al-Shafi’i yang tidak dimansuhkan olehnya, kerana seseorang mujtahid
(seperti Al-Shafi’i) apabila ia mengeluarkan pendapat barumya yang
bercanggah dengan pendapat lamanya tidaklah bererti bahawa ia telah
menarik pendapat pertamanya, bahkan di dalam masalah itu dianggap
mempunyai dua pendapatnya. Keduanya : Tidak harus ia memilih pendapat
lama itu. Inilah pendapat jumhur fuqaha’ Mazhab Al-Shafi’i kerana
pendapat lama dan baru adalah dua pendapatnya yang bertentangan yang
mustahil dapat diselaraskan kedua-duanya.
Kitab-kitab Mazhab Jadid
Di antara kitab-kitab yang beliau hasilkan penulisannya di Mesir atau
beliau merencanakannya kepada para sahabatnya di sana ialah :
i. Al-Risalah. Kitab ini telah ditulis buat pertama kalinya sebelum
beliau berpindah ke Mesir. ii. Beberapa buah kitab di dalam hukum-hukum
furu’ yang terkandung di dalam kitab “Al-Um”, seperti :-
a) Di dalam bab Taharah : 1. Kitab al-Wudu’ 2. Kitab al-Tayammum 3.
Kitab al-Taharah 4. Kitab Masalah al-Mani 5. Kitab al-Haid B) Di dalam
bab Solah : 6. Kitab Istiqbal al-Qiblah 7. Kitab al-Imamah 8. Kitab
al-Jum’ah 9. Kitab Solat al-Khauf 10. Kitab Solat al-‘Aidain 11. Kitab
al-Khusuf 12. Kitab al-Istisqa’ 13. Kitab Solat al-Tatawu’ 14. Al-Hukm
fi Tarik al-Solah 15. Kitab al-Jana’iz 16. Kitab Ghasl al-Mayyit c) Di
dalam bab Zakat : 17. Kitab al-Zakah 18. Kitab Zakat Mal al-Yatim 19.
Kitab Zakat al-Fitr 20. Kitab Fard al-Zakah 21. Kitab Qasm al-Sadaqat d)
Di dalam bab Siyam (Puasa) : 22. Kitab al-Siyam al-Kabir 23. Kitab Saum
al-Tatawu’ 24. Kitab al-I’tikaf e) Di dalam bab Haji : 25. Kitab
al-Manasik al-Kabir 26. Mukhtasar al-Haj al-Kabir 27. Mukhtasar al-Haj
al-Saghir f) Di dalam bab Mu’amalat : 28. Kitab al-Buyu’ 29. Kitab
al-Sarf 30. Kitab al-Salam 31. Kitab al-Rahn al-Kabir 32. Kitab al-Rahn
al-Saghir 33. Kitab al-Taflis 34. Kitab al-Hajr wa Bulugh al-Saghir 35.
Kitab al-Sulh 36. Kitab al-Istihqaq 37. Kitab al-Himalah wa al-Kafalah
38. Kitab al-Himalah wa al-Wakalah wa al-Sharikah 39. Kitab al-Iqrar wa
al-Mawahib 40. Kitab al-Iqrar bi al-Hukm al-Zahir 41. Kitab al-Iqrar
al-Akh bi Akhihi 42. Kitab al-‘Ariah 43. Kitab al-Ghasb 44. Kitab
al-Shaf’ah g) Di dalam bab Ijarat (Sewa-menyewa) : 45. Kitab al-Ijarah
46. Kitab al-Ausat fi al-Ijarah 47. Kitab al-Kara’ wa al-Ijarat 48.
Ikhtilaf al-Ajir wa al-Musta’jir 49. Kitab Kara’ al-Ard 50. Kara’
al-Dawab 51. Kitab al-Muzara’ah 52. Kitab al-Musaqah 53. Kitab al-Qirad
54. Kitab ‘Imarat al-Aradin wa Ihya’ al-Mawat h) Di dalam bab ‘Ataya
(Hadiah-menghadiah) : 55. Kitab al-Mawahib 56. Kitab al-Ahbas 57. Kitab
al-‘Umra wa al-Ruqba i) Di dalam bab Wasaya (Wasiat) : 58. Kitab
al-Wasiat li al-Warith 59. Kitab al-Wasaya fi al-‘Itq 60. Kitab Taghyir
al-Wasiah 61. Kitab Sadaqat al-Hay’an al-Mayyit 62. Kitab Wasiyat
al-Hamil j) Di dalam bab Faraid dan lain-lain : 63. Kitab al-Mawarith
64. Kitab al-Wadi’ah 65. Kitab al-Luqatah 66. Kitab al-Laqit k) Di dalam
bab Nikah : 67. Kitab al-Ta’rid bi al-Khitbah 68. Kitab Tahrim al-Jam’i
69. Kitab al-Shighar 70. Kitab al-Sadaq 71. Kitab al-Walimah 72. Kitab
al-Qism 73. Kitab Ibahat al-Talaq 74. Kitab al-Raj’ah 75. Kitab
al-Khulu’ wa al-Nushuz 76. Kitab al-Ila’ 77. Kitab al-Zihar 78. Kitab
al-Li’an 79. Kitab al-‘Adad 80. Kitab al-Istibra’ 81. Kitab al-Rada’ 82.
Kitab al-Nafaqat l) Di dalam bab Jirah (Jenayah) : 83. Kitab Jirah
al-‘Amd 84. Kitab Jirah al-Khata’ wa al-Diyat 85. Kitab Istidam
al-Safinatain 86. Al-Jinayat ‘ala al-Janin 87. Al-Jinayat ‘ala al-Walad
88. Khata’ al-Tabib 89. Jinayat al-Mu’allim 90. Jinayat al-Baitar wa
al-Hujjam 91. Kitab al-Qasamah 92. Saul al-Fuhl m) Di dalam bab Hudud :
93. Kitab al-Hudud 94. Kitab al-Qat’u fi al-Sariqah 95. Qutta’ al-Tariq
96. Sifat al-Nafy 97. Kitab al-Murtad al-Kabir 98. Kitab al-Murtad
al-Saghir 99. Al-Hukm fi al-Sahir 100. Kitab Qital ahl al-Baghy n) Di
dalam bab Siar dan Jihad : 101. Kitab al-Jizyah 102. Kitab al-Rad ‘ala
Siyar al-Auza’i 103. Kitab al-Rad ‘ala Siyar al-Waqidi 104. Kitab Qital
al-Mushrikin 105. Kitab al-Asara wa al-Ghulul 106. Kitab al-Sabq wa
al-Ramy 107. Kitab Qasm al-Fai’ wa al-Ghanimah o) Di dalam bab At’imah
(Makan-makanan) : 108. Kitab al-Ta’am wa al-Sharab 109. Kitab al-Dahaya
al-Kabir 110. Kitab al-Dahaya al-Saghir 111. Kitab al-Said wa al-Dhabaih
112. Kitab Dhabaih Bani Israil 113. Kitab al-Ashribah p) Di dalam bab
Qadaya (Kehakiman) : 114. Kitab Adab al-Qadi 115. Kitab al-Shahadat 116.
Kitab al-Qada’ bi al-Yamin ma’a al-Shahid 117. Kitab al-Da’wa wa
al-Bayyinat 118. Kitab al-Aqdiah 119. Kitab al-Aiman wa al-Nudhur q) Di
dalam bab ‘Itq (Pembebasan) dan lain-lain : 120. Kitab al-‘Itq 121.
Kitab al-Qur’ah 122. Kitab al-Bahirah wa al-Sa’ibah 123. Kitab al-Wala’
wa al-Half 124. Kitab al-Wala’ al-Saghir 125. Kitab al-Mudabbir 126.
Kitab al-Mukatab 127. Kitab ‘Itq Ummahat al-Aulad 128. Kitab al-Shurut
Di samping kitab-kitab di atas ada lagi kitab-kitab lain yang
disenaraikan oleh al-Baihaqi sebagai kitab-kitab usul, tetapi ia juga
mengandungi hukum-hukum furu’, seperti :-
1. Kitab Ikhtilaf al-Ahadith 2. Kitab Jima’ al-Ilm 3. Kitab Ibtal
al-Istihsan 4. Kitan Ahkam al-Qur’an 5. Kitab Bayan Fard al-Lah, ‘Azza
wa Jalla 6. Kitab Sifat al-Amr wa al-Nahy 7. Kitab Ikhtilaf Malik wa
al-Shafi’i 8. Kitab Ikhtilaf al-‘Iraqiyin 9. Kitab al-Rad ‘ala Muhammad
bin al-Hasan 10. Kitab ‘Ali wa ‘Abdullah 11. Kitab Fada’il Quraysh
Ada sebuah lagi kitab al-Shafi’i yang dihasilkannya dalam Ilmu Fiqah
iaitu “al-Mabsut”. Kitab ini diperkenalkan oleh al-Baihaqi dan beliau
menamakannya dengan “al-Mukhtasar al-Kabir wa al-Manthurat”, tetapi pada
pendapat setengah ulama kemungkinan ia adalah kitab “al-Um”.